Tuesday, February 12, 2008

Insan yang Keburu Waktu

Menghirup secangkir usia
terasa hangat dan bertenaga
tetapi tatkala datang puing duga
ranaplah lasykar senyum ketawa
mercuplah bisik pedih hiba
merata-rata, melata-lata!

Kita insan yang keburu waktu
sama ada di kiri atau kanan nisan
di atas mimbar atau di bawah kubah
tak pernah kita menjadi pemilik mutlak
sekadar meminjam dan terus meminjam
tetapi bongkak dan bangga.

Usia pun jikalau minta dibayar
berapakah nilai sehari semalam
sekian-sekian udara yang diteguk
sekian-sekian cahaya yang disaksi
sekian-sekian malam yang membenahi
sekian keikhlasan kita sebagai insani?

Sebenarnya kita tak punya apa-apa
persahabatanlah erti kehidupan ini
eratnya bagai tali anyaman amal
kenalnya budi bak narawastu ukhuwah
kerana hidup yang sekelopak cuma
bukan untuk dipersia-sia oleh olah
dan menggunungkan tamak haloba!

Terima kasih sahabat kerana masih
terusan juga sudi bersahabat
sungguh sesungguhnya aku hina
sungguh sesungguhnya aku miskin
sungguh sesungguhnya aku fakir
sungguh ssungguhnya aku naif
sungguh sesungguhnya aku menghargai.

Keburu waktu bukan alasan berjauhan
atau jarak antara menjadi penghalang
kerana sahabat itu saattidak berada
kerana sahabar itu saat pedih luka
kerana sahabat itu saat hati patah
kerana sahabat itu saat nazak payah
kerana sahabat itu saat keranda dibawa....

Aminhad,
Putrajaya.

1 comment:

agy7500 said...

wah..hebat kau sekarg ni..dah pandai ternet... ada blog lai.. perghhh..ni macam lah...