Tuesday, February 19, 2008

Inilah Dunia yang Kita Cipta Sendiri

Inilah kesementaraan
yang hidup sebenarnya berpura-pura
yang mati dikatakan sirna perbuatan
tetapi pendosa tidak mungkin termungkir
belitan lidah tidak lagi berkuasa
wajah juga tidak mungkin tersorok
seperti elok atau tidak ayam berkokok
yang terjujai hanya tahi dan bunyi ok ook oook!
ok atau olok-olok?

inilah dunia kita di halaman main-main
neraca terbengkok jarumnya
cermin membalikkan arca berbeza
yang benar hanya diri dan hati yang tahu
kerana kertas atau koran cuma alatan
seksi dan artis menjadi sumber bisnes
yang panas melariskan pisang goreng
yang dingin sebenarnya Melayu yang kelulu
menjadi kerbau perlu menggunakan tanduk
menjadi lembu usah menyerahkan hidung melulu.

Apa atau bagaimana pun inilah hidup
dunia sebelah sini bukan tempat matahari terbit
tetapi bulan tetap juga bersinar suka
selepas hujan lebat dan petanda
esok hari lain muncul pula
sebelum langit dugulung.

Sanggupkah menjawab segala nista
saat selepas sangkakala keras ditup ke muka?

Masih bertahankah kita jikalau diam
di atas mana-mana singgahsana?

Inilah dunia, dan akhirat itu jangan
sengaja buat-buat lupa....

AMINHAD,
Pytrajaya.

No comments: