Monday, February 25, 2008

Kesempatan yang Mengancam

Inilah saat kesempatan itu
kita mengubahnya dengan tangan
bukan sekadar tertayang di layar hati
bukan sekadar terkilau di mata.

Bukan sekadar niat kali ini. Bukan.
Kita perlu pangkah kekejaman syaitan
kita perli singkir kekaratan kerusi
sebelum terbit embun pagi baru.

Pun kesempatan sebenarnya ancaman
kita tak dapat memenuhi tuntutan semua
korbankan waktu ini buat waktu itu
tapi jangan korban solat ini untuk kerja itu.

Solat pun menuntut pengorbanan
tetapi alpa dan bersenang-senang manusia sengaja
korbankan kewajipan demi keduniaan
tapi bukankah benar memelihra akhirat sentosa?

Ujian juga datang melalui kesempatan
menjadi pemimpin peluang ternganga
mengambil kesempatan peluang disengaja
di sini sementara, perintahlah di sana
dapatkah menghalang tangan kaki bersuara?

Kesempatan inilah ketika saatnya
datang berlenggang bertenanglah jiwa
akal yang celik bukan membuta
nyedar dan insaf segala yang dsua
hidup dan amal hanya sementara di dunia!

AMINHAD,
UPM, 25 Feb, 2008.

Wednesday, February 20, 2008

Berhati-hati Ketika Memandu

Musibah dan Kecelakaan

Seandainya malang itu bukan dicipta sendiri
apakah Dia sengaja memberi bala?

Seandainya darjat itu terlalu murah harganya
apakah Dia pengagih duka saja-saja?

Seandainya kesilapan itu kelemahan insani
musibah itulah ujian tak terpermanai.

Tuesday, February 19, 2008

Inilah Dunia yang Kita Cipta Sendiri

Inilah kesementaraan
yang hidup sebenarnya berpura-pura
yang mati dikatakan sirna perbuatan
tetapi pendosa tidak mungkin termungkir
belitan lidah tidak lagi berkuasa
wajah juga tidak mungkin tersorok
seperti elok atau tidak ayam berkokok
yang terjujai hanya tahi dan bunyi ok ook oook!
ok atau olok-olok?

inilah dunia kita di halaman main-main
neraca terbengkok jarumnya
cermin membalikkan arca berbeza
yang benar hanya diri dan hati yang tahu
kerana kertas atau koran cuma alatan
seksi dan artis menjadi sumber bisnes
yang panas melariskan pisang goreng
yang dingin sebenarnya Melayu yang kelulu
menjadi kerbau perlu menggunakan tanduk
menjadi lembu usah menyerahkan hidung melulu.

Apa atau bagaimana pun inilah hidup
dunia sebelah sini bukan tempat matahari terbit
tetapi bulan tetap juga bersinar suka
selepas hujan lebat dan petanda
esok hari lain muncul pula
sebelum langit dugulung.

Sanggupkah menjawab segala nista
saat selepas sangkakala keras ditup ke muka?

Masih bertahankah kita jikalau diam
di atas mana-mana singgahsana?

Inilah dunia, dan akhirat itu jangan
sengaja buat-buat lupa....

AMINHAD,
Pytrajaya.

Tuesday, February 12, 2008

Insan yang Keburu Waktu

Menghirup secangkir usia
terasa hangat dan bertenaga
tetapi tatkala datang puing duga
ranaplah lasykar senyum ketawa
mercuplah bisik pedih hiba
merata-rata, melata-lata!

Kita insan yang keburu waktu
sama ada di kiri atau kanan nisan
di atas mimbar atau di bawah kubah
tak pernah kita menjadi pemilik mutlak
sekadar meminjam dan terus meminjam
tetapi bongkak dan bangga.

Usia pun jikalau minta dibayar
berapakah nilai sehari semalam
sekian-sekian udara yang diteguk
sekian-sekian cahaya yang disaksi
sekian-sekian malam yang membenahi
sekian keikhlasan kita sebagai insani?

Sebenarnya kita tak punya apa-apa
persahabatanlah erti kehidupan ini
eratnya bagai tali anyaman amal
kenalnya budi bak narawastu ukhuwah
kerana hidup yang sekelopak cuma
bukan untuk dipersia-sia oleh olah
dan menggunungkan tamak haloba!

Terima kasih sahabat kerana masih
terusan juga sudi bersahabat
sungguh sesungguhnya aku hina
sungguh sesungguhnya aku miskin
sungguh sesungguhnya aku fakir
sungguh ssungguhnya aku naif
sungguh sesungguhnya aku menghargai.

Keburu waktu bukan alasan berjauhan
atau jarak antara menjadi penghalang
kerana sahabat itu saattidak berada
kerana sahabar itu saat pedih luka
kerana sahabat itu saat hati patah
kerana sahabat itu saat nazak payah
kerana sahabat itu saat keranda dibawa....

Aminhad,
Putrajaya.