Thursday, September 27, 2007

Kenangan Lalu




Kinabalu yang Menggamit

Kinabalu Masih Melambai Kenangan


Imbauan Lalu

Sebenarnya aku baru belajar menambah kandungan dalam blogku, termasuk menyelitkan foto-foto. Dua tiga hari ini, cubaanku berjaya. Rupa-rupanya, ada orang yang menggunakan nama "aminhad" atau "amin bin minhad" atau "amin minhad" atau aminminhad bin minhad" dan entah apa-apa lagi untuk e-mel dan blognya menjadikan gangguan kepadaku selama ini.

e-mel baru yang aku buat: aminhad_kpm@yahoo.ie (wah, aku di Ireland)
satu lagi: aminhad@uzbek.com (kali ini aku di Uzbekistan)

Tidur Orang MaQam Tinggi



Catatan: Foto dalam lingkungan sajak "karenah" itu ialah Tuan Haji Shamsudin Othman sedang tidur ketika kami di Kundasang. Belajarlah cara-cara melindungi batu jemala daripada diinjak syaitan laknatullah.

Daun Hayat yang Gugur

Tahun ini senarai al-fatehah untuk saudara maraku semakin panjang, khususnya dalam Ramadan al-mubarak ini. Kelmarin, ustazah Hajah Rahmah di Sg. Besar telah berpulang untuk selama-lamanya. Tahun ini juga, beberapa bulan lalu, madunya telah mendahuluinya.
Orang yang datang berziarah begitu ramai (melebihi keramaian semasa allahyarham suaminya meninggal dulu) kerana allahyarham memiliki murid yang mengenang budi. Beliau juga membawa jemaah menunaikan haji dan umrah. Hanya 2 tahun kebelakangan urusan tersebut tidak dilakukan atas keuzuran (walaupun tidak seuzur mana tetapi nafasnya selalu sesak). Seorang yang peramah, tegas dan mudah mesra. Semoga rohnya didakap restu Illahi. Amin. Al-fatehah.

Tuesday, September 25, 2007

Karenah Hidup


Hidup ini sememangnya

sekian banyak karenah

sebelum kelopak itu

rapat terkatup.


Ramadan memaknakan

isi cerita alam maya

bahawa karenah sang nafsu

di luar sangkar syaitan

terkurung.


Siapakah yang banyak

karenah itu?


AMINHAD,

Kemudi, 2007.

Berdirinya Pohon

Berdirinya Pohon

Apakah kita masih gentayangan
mencari identiti yang hilang
saat 16 September mercup
dari dalam selimut merdeka?
kelelahan mencari diri
yang hilang ditelan kabut.

Malam yang diam tetap hadir
bersama genderang perang
simfoni santun yang semilir itu
tenggelam dalam kerancuan
hanyut dalam rakus arus
kemodenan suatu kemestian
tetapi berdirinya pohon kerana
tangan-tangannya mengejar sinar
kaki-kakinya membenam ke dasar!

AMINHAD,
SERI INDAH-PUTRAJAYA.
(Mingguan Malaysia, 9 Sept 2007, hlm. 15)

Merpati Tidak Lagi

Kini merpati tidak lagi
berwajah mulus, dan bulu-bulu
kebebasannya tidak lagi
putih bersih kerana sayapnya
kerapkali tertembak oleh
kedurjanaan dan kedunguan
sang pemburu yang butahati
atau membabibutakan
agenda suara ibunda
sendiri.

Hanya tinggal ingatan
di atas warkah kilauan emas
lingua franca itu terpahat
sekian benih pengakuan
yang menumbuhkan
suburnya kedaulatannya
tetapi kini bukan baja
memuntahkan racun atau
udara memercikkan aura
berbaur bisa ular
sebaliknya para penembak
itulah yang terus mengecat
bulu-bulu merpati bundaku
hitam melulu!

Benar sahabat,
merpati tidak lagi menjadi
lambang kejernihan hati
anak-anak peribumi
sesama sendiri...

Aminhad,
Beijing-KK-Putrajaya, 2007.

Monday, September 24, 2007

Tanggal 9 Ramadan

Tiga tahun lalu, 9 Ramadan, allahyarham Hassan Haji Sidek menghadap Illahi (ayah isteriku) dan baru-baru ini allahyarham Hassan Haji Idris (suami kakak umiku) juga kembali kepada-Nya buat selama-lama.

Semakin terharu apabila anak kecil itu juga kembali dalam dakapan Ramadan ini. Semoga roh kalian dalam renungan dan rahmat-Nya sepanjang zaman. al-fatehah.

Dalam Dakapan Ramadan Nan Mulus

Salam Ramadan dan bakal Lebaran. Maaf Zahir dan batin teman-teman.

Terima kasih Dr HM Tuah atas kiriman kad yang cantik dan meriah serta mewah (wajah dirimu semakin berseri di sisi Merce yang entah berapa siri. Syabas!).

Hari-hari mendatang, aku hanya mampu mamper cuma seperti semilir angin mengangkut di ujung rumput. Maaf.