Tuesday, August 05, 2008

Genta Suaranya Terasa Masih Ada (Sempena Kehilangan SN S. Othman Kelantan)

Jumaat yang suram kukunjungimu hampir senja
aku perlu menunggu kerana giliran berdua dibenarkan
sesudah keluar Amiruddin & Sham menyuarakan
hari ini kau mogok makan,
mogok bicara, mogok menelan ubat segala,
menggusarkan Zakir, anak yang percaya
sembuhmu akan segera dan engkau akan segera
pulang ke rumah.


Di sisi kanan, di hujung kaki itu
tiada lagi dapat kuberbicara
tiada lagi dapat kudengar itu suara
kerana angin petang menghantarkan
keluh kesah dan pedih luluh nafasmu
berat dan kulihat tenat amat.

Benar, Tuan
saat kuusap tapak kaki kananmu berkali-kali
dan sang isteri mahu menitiskan air
yang hanya tersangkut di bibir,
engkau terus menggeleng berkali-kali
dan ketat sungguh nafasmu kali ini
menghantar sendu sehingga aku terfana pilu.

Dan dia, sang isteri yang sentiasa menjujaikan duka
aku terdiam tak menegur atau membisik apa-apa
hanya halkumku menelan bicara dan doa
kubacakan Ya Salam, asmaulhusna
ah, mengapa pula, Tuan
terasa kepedihan semakin mencengkamku pula.

Tuan yang telah bepergian
seminggu kemudian, dini hari khamis yang gerimis
kini lelah nafasmu benar-benar sudah tiada lagi
geleng dan pejam matamu hanya di alam mimpi
sedang genta suaramu terasa masih ada
menyusup dalam gendangan telinga anak bangsa
dan semesta alam susastera.

Istirahatlah, Tuan
biar kepedihan, kehilangan dan rindu akan kami
tanggungkan kerana hayat ini bukan untuk
disia-siakan. Tuan telah berjasa dan kami yang
tinggal belum pasti gentanya entah bagaimana...

AMINHAD,
Putrajaya - UPM,
31 Julai, 2008.