Monday, December 31, 2007

Selamat Tinggal Kedukaan 2007

Sesudah terpacak duri di lembut telapak
aduh hanya sekadar penghibur fana
darah hanya gambaran terbuka
bahawa kulit sudah robek
dan isinya menyerlahkan merah.

Sesudah terpacak niat di lembut nubari
aduh sekadar hanya cobaan duga
darah gambaran hanya pengorbanan
bahawa luar diri menggambarkan dalam rapi
dan isinya menyerlahkan cinta Rabbi.

Sesudah terpacak bilah-bilah hari
tumbang juga ia oleh olahan waktu
darah hanya gambaran pertumpahan niat
bahawa luar dan dalam diri hangus sudah
dan isinya menyembunyikan karenah.

Sesudah terpacak keangkuhan insani
berdiri ia sebagai besi yang konon hakiki
darah menjadi percikan dan lukisan
bahawa kemanusiaan hanya layangan perjuangan
enggan menanjak renggut atau putuskan saja tali!

Selamat tinggal kedukaan 2007
engkau mengajar aku lebih awas dan tidak polos
engkau mengajar aku siapa lawan atau kawan
kerana darah kini bukan sahaja tidak berharga
simpati atau kasihan hanya ada udang di sebalik batunya.

AMINHAD,
Serdang,
31 Disember, 2007.

No comments: