Wednesday, October 10, 2007

Dunia Sekadar Sayap Nyamuk



Apalah ertinya dunia
kalau harganya sekadar sayap nyamuk
yang nipis dan rapuh
renyuk diterjah karenah dan olah.

Apalah harganya sayap nyamuk
kalau cantiknya cuma seketika
yang berkilau bukan daripada cahayanya
yang mengepak tanpa angin gugur dia.

Apalah ertinya kemilau duniawi
kalau akal tidak menjangkau ukhrawi
dan tangan sekadar menghitung laba
memegang mushaf tetapi mulut terkunci.

Kalau nurani enggan meneguk atma-Mu
kalau batini dimainkan uja khayali
lebih elok kita menjadi nyamuk
hidup beberapa hari dan tak perlu nyanyuk.

AMINHAD,
Seri Indah - Putrajaya.

Salam Lebaran

Hari yang mulia itu bukan
seperti hari-hari selalu
yang kusam atau buram
yang terperuk atau bungkam
kerana lebaran hari kemenangan
dibatasi awan Ramadan
yang semakin mencaing-caing
menipis dan beransur berkecai
untuk menunggu hari esok
yang belum pasti
terjumpakah dengannya lagi.

Tersenyumlah seadanya
kerana rahmat dan sedekahmu
pasti terangkat ke langit zaman
pasti berkat sesama insan
kerana berpesan seadanya
seperti sedekah sepotong maaf
sepanjang bulannya.

AMINHAD,
Putrajaya-Serdang.

Tuesday, October 09, 2007

Catatan Rindu Illahi (Buat Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha)


Hari-hari Itu Telah Tiada


Catatan Rindu Illahi (Buat Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha)

Sejernih air yang mengalir
sebening senyum yang terukir
demikian keikhlasan menyusup
di jubah amalan insani berani.

Alam perkasihan bukan palsu
alam niskala bukan mainan
cakerawala pun menyimpan rahsia
angkasawan sekadar zarah bertamu.

Dalam diam engkau pasti tahu
wujud titik air dan hembus bayu
tiup sangkakala dan gejolak api
janji-Nya, ke tanah juga engkau kembali.

Kalau kau di luar titik graviti nanti
sampaikan bisikku kepada awan
bahawa kita sememangnya pengembara
zat yang sementara hanya mengharap reda-Nya.

Ramadan nan indah mendakap misimu
semoga doa kudus kami mengangkat hakikat
rahsia angkasa adalah rahsia-Nya juga
biar tak terungkap tapi tetap terasa hadir-Nya.

Begitu tamsilnya pengembaraan ini
penerokaan ini bukan sekadar sejarah
kita membesarkan-Nya di sebalik fardu kifayah
hidup ini indah, sungguhlah ini erti mujahadah.

AMINHAD,
Putrajaya.

Ramadan Kian Mengengsot

Ramadan kian mengengsot
meninggalkan kita tanpa pamit
bahawa antara tabir malam dan ufuk subuh
bertemu di kaki Syawal.

Adalah aku, insan yang terpegun
membentur dahi ke atas sejadah
menadah harap pada kelibat insaf
menebar cinta pada kubah dini hari-Mu.

Aku kekal tersedu di awang-awangan, Rabb
tak henti menghitung titik-titik alpa
yang bertumpang-tindih di lembaran hayat
tetapi Ramadan yang lain mungkinkah bertemu?

AMINHAD,
Serdang - Putrajaya.

Monday, October 08, 2007

Keberangkatan Sebuah Rindu

Di daerah anak-anak itu
aku masih berada di halaman masjid
selesai tarawikh memukul beduk berirama
petanda gembira tamatnya mengimarah malam-malam-Mu
Ramadan yang kesekian kalinya
teringat sahabatku berkelubung jubah
menakutkan sekawan kami
yang tidur di luar mimbar
bangun pagi tiba-tiba dia berada di tepi kolam
barangkali malam tadi diangkat jin.

Dan untuk kesekian kalinya lagi
Rohani, sahabatku itu tidurnya terus diganggu
jaganya benar-benar di sisi pusara.

Keesokannya dia hanya tersenyum
sedang kami terlopong berusaha mentafsir
bahawa kebarangkalian kesucian yang dituntut
memberat dalam timbangan amal
keikhlasan mengabdi bukan senda dan gurau
rumah-Mu bukan padang mainan
buat anak-anak ingusan.

Kini, rindu saat itu telah jauh berangkat
meninggalkan kampung kenangan
yang masih berbekas dalam ranjang tidurku
sepanjang waktu.

Aminhad,
Pulau Indah.