Thursday, January 22, 2009

Majoriti Penghuni Syurga dan Neraka

Daripada Ibnu Abbas dan Imran bin Hushain r.a. daripada Nabi SAW, sabdanya: 'Aku melihat ke dalam Syurga, maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah dalam kalangan orang-orang yang fakir. Dan aku melihat ke dalam Neraaka, maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripaa golongan perempuan'.

Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wednesday, January 14, 2009

WASIAT ANAK KECIL DENGAN KEPALA YANG TERBENAM

WASIAT ANAK KECIL DENGAN KEPALA YANG TERBENAM
DALAM KERIKIL TAJAM RUNTUHAN RUMAHNYA SENDIRI


Kepala anak kecil itu tersepit antara runtuhan rumahnya
sendiri. Matanya terkatup seperti mata Zionis yang sengaja dibutakan!
Mulutnya terbuka sebaik sudah memohon pengampunan dan belas
tetapi tidak dibalas. Dia kini sudah tidak memiliki suaranya sendiri seperti
para pejuang berani mati yang mempertahankan permai bumi dan
halaman terindah tempat mereka bersenda dan berlari-lari.

O kelmarin, anak itu benar-benar kepingin sepotong roti dan seteguk sarbat kerana
lapar dan dahaga. Lapar kewarasan dan dahaga simpati sebaik
mendengar genta kekejaman dilepaskan ke sebelah hospital Shifa dan
Shejaiya, Haus pertimbangan akali tatkala ada warga emas di Rafah,
sempadan Mesir dipaksa memamah peluru Israel sebagai
makan malamnya yang terakhir.

Aduhai, anak kecil itu kini terus dilupakan seperti hancurnya batu-batu atau
besi yang kian memburuk. Hancur dan memburuk dari reruntuhan
peradaban bangsa bernama manusia spesies Israel yang
habitatnya bukan di Segenting Gaza tetapi terus membutakan mata
dan/ hatinya daripada melihat kutukan seluruh cakerawala!

Nyah kau Israel dari tanah Beit Lahiya yang terus merana! Nyah kau Yahudi
dari kem pelarian Ein el-Hilweh, Sidon yang sekian jumlah sengsara
semakin terhimpun! Nyah kau petualang dari bumi Baitulmaqdis kerana
50 seranganmu terhadap orang kampung, anak kecil, masjid, tanah perkuburan
dan sekolah itu benar-benar menyerlahkan engkau sadis! Berambus kau
dari sempadan Erez dan Jabaliya yang semakin terluka, parah, musnah,
luluh, hancur, berderai, berkecai, dan berkecai segala-galanya! Segala-galanya.

Tataplah wajah anak kecil dengan kepala yang terbenam dalam kerikil tajam
runtuhan rumahnya sendiri itu. Dia tidak sempat mengakhiri riwayat yang
hendak dikisahkan kepada teman-teman sebayanya bahawa esok, dia
tidak sempat melihat dan/ menghantar jenazah sahabat dan/ saudara-maranya yang
sedia terkepung itu sesudah diberi sarapan mortar, dan/ peluru yang dimuntahkan
dari mulut burung maut, dan/ sang kalveri yang teramat kejam!

”Selamat tinggal kekejaman,” rintihnya. ”Ketentuanku sudah tiba. Aku reda
dijemput maut. Tapi, kalian yang masih berombak nafasnya, tolong,
tolong terus urus dan renjiskan benih kemanusiaan yang semakin kering ini.”
Begitu wasiatnya. Wasiat anak kecil dengan kepala yang terbenam dalam kerikil tajam
runtuhan rumahnya sendiri....

AMINHAD,
Jalan P9G/1, Presint 9, Putrajaya.
10 – 16 Muharam, 1430 H.

Friday, January 09, 2009

Selamat Ulang Tahunku yang Terlewat (28 Disember)

Hari lahir seperti rel tren yang
menunggu laluan wajib tanpa boleh diubah
kerana akan ada tangan-tangan petaka yang
melambai-lambai ke lohong maut
akibat perlanggaran dahsyat. Dan mati
seperti tanda noktah tanpa koma yang
berupaya meranggas kedut dan kerut
kerana sang ajal telah tiba menghulurkan
pedangnya untuk memancung tali nyawa,
tanpa perlu sebarang peluit sebagai amaran
atau kasihan belas sebagai penangguhan,
walau sedetik pun. Walau sedetik pun.

Selamat ulang tahun diriku yang
tak kuasa menahan kecut dan kerut
atau mengelakkan pigmentasi jasadi
kerana doa dan selawat kekasih-Mu
moga menokok takah imani, ukhrawi,
insani, Islami....

Serdang,
12 Muharam, 1430 H.

Thursday, November 13, 2008

Balada Batang Belawai & Batang Rajang

batang belawai & batang rajang
berwajah ular menjalar menuju belukar
di dadanya kaujalarkan hangatnya harapan
seringkali kepergian tiap merah subuh & merah senja
berhari tanpa muak memukat nasib
mengutip syiling sekeping demi sekeping
yang menggelepar di atas lantai nafkah

tapi bila kauredahkan kenaikan ke lain arah
alangkah, sekadar air & garam yang menyimbah
jadilah kerongkong pada pahit oleh juluran lidah laut ganas
hati pun sakit melihat bayangan maut melilit
dukacita berpesta di pucuk-pucuk badai
menambah lusuh wajah murung harapan luuruh

katamu: angin pun seperti enggan simpati lagi
menerbangkan periuk kosong
membiarkan mulut pada terlopong
aduh!
bila laut china selatan bukan lagi sahabat akrabmu
bagai puteri santubong yang bermusuh dengan sahabat

tiba-tiba kulihat gemuruh laut tengkujuh itu
menyerap masuk menjadi gunung gemuruh
& detak luluh hatimu!
o sahabat, betapa kulihat anakmu mengepal nasi
berbaur manik berjujai.

AMINHAD,
Sarikei, Sarawak
11 Mei 1984
Dewan Sastera, Ogos 1985.
(Antologi Puisi Baharu Melayu 1961-1986)

Monday, November 10, 2008

SONDER HIDUP

kATA oRAng hiduP ini kEJAm,
tIdAK adil,
Rakus,
penGHinaan,
MAlang,
PenipUan,
Pura-pura
dan
peNinDASAN,
tapi
benarkah?

Kata ORAng
hidup ini BisiNG,
cemaR, noda, DosA, halilinTAR,
boM, Gempa BUmi, banjiR,
Ribut, PutinG beliUNG...
dan bukankah benar
yang mengakhirinya
KIAMAT?

Sonder hiDup
dalam tangan Amal
yang KIta genggam
di sini sampai
di SanA. Percayalah....

AMINHAD,
10 Nov, 2008.

Friday, November 07, 2008

Sepi dan Terasing

Hanya catatan kecil: S-e-p-i
dan
terasing
mengerumuni
d
i
r
i ....

AMINHAD,
7 Nov, 2008.

Friday, October 31, 2008

Sempena Mesej Konsert Keamanan Global

Ahad, 12 Oktober 2008, Bukit Jalil - Aku dan keluarga berjumpa Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang membawa mesej keamanan kepada dunia. Pesan beliau: Tidak ada yang mustahil untuk mencapai sesuatu. Beliau telah melihat Bumi dari angkasa yang lebih luas. Bumi terlalu kecil, dan ilmu itu masih banyak yang belum diteroka.

Pesanku: Zaman Mesir Purba memartabatkan ilmuan dan ahli perubatan. Firaun menduduki status teratas, diikuti oleh bangsawan, tabib, tuan tanah, diikuti oleh peniaga dan akhirnya hamba yang membina piramid. Hanya dengan ilmu, status insan biasa diangkat
oleh masyarakat. Jadi, tanggungjawab orang yang hidup perlu menuntut ilmu agar menjadi orang yang berilmu, menjadi insan yang cemerlang, di mata-Nya dan di mata manusia sejagat.