Tuesday, May 25, 2010

Terlihat Tiada Terasa Ada


Ini Papan Tanda Awas kepada Manusia

Papan tanda ini tidak kelihatan tetapi ada. Kita manusia
seperti sengaja tak melihatnya atau juling nyedar rasa,
agaknya.

MALAIKAT MAUT membelek-belek wajah manusia di muka bumi ini
70 kali dalam sehari.

Ketika kami datang merenung wajah seseorang, didapati ada yang
gelak ketawa.
Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat
orang ini, sedangkan aku diminta oleh ALLAH untuk
MENCABUT nyawanya tetapi dia masih berseronok
dan bergelak ketawa?"

Salman al-Farisi meriwayatkan,
bahawa Nabi SAW berpesan:

"Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir
mati itu. Pertama: Berpeluh pada pelipisnya. Kedua: Berlinang
air matanya. Ketiga: Lubang hidungnya kembang-kempis.
Manakala jika ia mengeruh seperti tersedak. Air mukanya
nampak gelap dan keruh, menandakan gejala azab daripada Rabb
sedang menimpa dirinya."

Kucatat kembali ini kata-kata pada papan tanda AWAS itu.
Percayalah, papan tanda ini tidak kelihatan tetapi ada.
Seperti angin yang kita percaya tetapi tidak kelihatan wujudnya.

AMINHAD,
Serdang.

Friday, May 21, 2010

Selagi Aku Diizinkan


Telah lama kuabaikan

kekentalan nurani menekuni puisi

atau sengaja aku beralasan

untuk tidak menukang puisi lagi

jikalau sekiranya nanti dipersoal:

Puisi hanya kata-kata yang sengaja

dianyam untuk mempesona!


Tatkala meredah hujan saban petang

kelmarin kutemukan pelbagai ironi

rembas hujan pun bisa menggetar

apatah aksara yang disusun

menjadi kata-kata batini.


Biarlah kukatakan juga: Aksara

yang menjadi kata yang menjadi frasa

yang akhirnya dipanggil bahasa itu

bukankah makhluk-Nya yang

mewakili segala kesempurnaan Rabb?


Aku siapa? Aku pasti masih mahu

berkata-kata selagi diizinkan-Nya

untuk bersuara....


AMINHAD,

SMKSI.