Tuesday, December 29, 2009

dan Daun Hayat pun Gugur Lagi

Selamat Ulangtahun
Kelahiran
diriku
kelmarin....

AMINHAD,
Putrajaya, 2009.

Friday, December 18, 2009

Andai

Andai dunia ini masih dianggap berharga
bukankah akhirat itu jauh lebih berharga lagi mulia?

Andai jasad itu memang diciptakan untuk mati
bukanlah mati di jalan ALLAH itu lebih mulia?

-- AMINHAD,
Pulau Indah.

Cerita Tentang Manusia

Aduhai manusia, saban saat
organ tubuhmu, otak dan hatimu
mengalami perubahan demi
perubahan demi perubahan
dan semakin menuju
sirna!
Tubuh ini tetap tubuh ini
anak ini tetap anak ini
tetapi anak ini telah tumbuh menjadi tua
dan uzur melarat jadinya.
Orang tua ini dahulunya
seorang anak kecil.
Ya, sungguhpun kau telah kehilangan
usiamu, sifat, kecantikan, kekuatan
dan kesihatanmu namun jari ini
masih jari yang sama pada tika
kamu ingusan. Tubuh ini tepat sama
pada pandangan nama dan engkau
masih dikenali atas nama tubuh ini jua.
Tetapi dua tubuh ini masih bukan
tubuh yang sama bukan?

Cerita Tentang Dunia

Dunia
sentiasa bergerak
menjauh daripada kehidupan manusia
sedangkan Akhirat pula sentiasa
bergerak mendekatinya.

Saidina Ali.

Friday, December 04, 2009

Pesanan Imam Ja’far ash-Shadiq as kepada Imam Musa Al-Kazhim as

Wahai anakku,
Barang siapa yang merasa cukup maka ia adalah orang yang kaya.
Barangsiapa yang matanya selalu menginginkan kepada apa yang dimiliki oleh orang lain maka ia adalah orang yang miskin.
Barang siapa yang tidak rela dengan apa yang telah Allah tentukan baginya maka Allah akan menjelekkan pada ketetapannya.
Barang siapa yang menganggap kecil kehinaan dirinya maka ia akan menganggap besar kehinaan orang lain
Wahai anakku,
Barang siapa yang membuka hijab (rahsia) orang lain maka akan terbuka aibnya sendiri. Barang siapa yang menghunus pedang kezaliman maka ia akan terbunuh kerananya.
Barang siapa yang menggali lubang untuk (menjebak) saudaranya sendiri maka ia akan terperosok ke dalamnya.
Barang siapa yang masuk ke dalam golongan orang yang bodoh maka ia akan menjadi hina.
Barang siapa yang berkumpul dengan ulama maka ia akan menjadi mulia.
Barang siapa yang masuk ke tempat maksiat maka ia akan menjadi rosak.
Wahai anakku,
Katakanlah kebenaran yang baik akan menguntungkanmu atau merugikanmu dan berhati-hatilah terhadap fitnah karena hal itu akan menumbuhkan permusuhan di hati orang.
Wahai anakku,
Jika engkau mencari kedermawanan maka hendaklah engkau mencari puncanya, kerana kedermawanan memiliki punca dan punca memiliki sumber dan sumber memiliki cabang dan pada cabang terdapat buahnya. Tidak akan baik buah itu kecuali kerana cabangnya dan tidaklah kuat sumber itu kecuali dengan punca yang baik.
Wahai anakku,
Kunjungilah orang-orang yang baik dan janganlah mengunjungi orang-orang yang jahat, kerana sesungguhnya mereka (bagaikan) batu besar yang tidak akan memancarkan airnya, pohon yang tidak hijau daunnya dan bumi yang tidak tumbuh rumputnya.

(Imam Ja’far ash-Shadiq as)

Karya Berteraskan Karya Agung



Setelah kembara ke merata ceruk dan rantau,
Port Dickson, Negeri Sembilan; Pontian, Johor
dan Seremban, Negeri Sembilan sepanjang
2007-08 akhirnya lahirlah 3 buah buku mewah
yang setiap satunya berharga RM35.00 sebuah.

Para penulis hanya berbisik sesama sendiri:
Kita menulis hanya sekadar untuk menulis,
bukan kerana nama ataupun....

Inilah hasil keringat yang tumpah setelah
cembul akal diperah.

Munajat Imam Ali Zainal Abidin

Tatahabbab ilaina binni'am
wa nu'aridluka bidzdzunub
khairuka ilaina ndzilun
wa syamuna ilaika sha'idun.

Engkau tunjukkan kecintaan-Mu kasih dan sayang-Mu kepada kami dengan segala nikmat-Mu,
dan kami membalasnya dengan mempertontonkan keburukan, memperlihatkan kemaksiatan.
Kebaikan dari-Mu selalu turun kepada kami
dan yang naik kepada-Mu hanyalah keburukan demi keburukan.

(Munajat Imam Ali Zainal Abidin anak Imam Husain bin Ali bin Abi Talib)

Thursday, December 03, 2009

hanya alamat mel elektronik

aminminhad@yahoo.com

jikalau alamat ini
yang dicari-cari,
hubungilah....

Salam,
AMINHAD.

Tuesday, November 17, 2009

Doa Cucunda Saidina Ali

Ya, Allah. Setiap hari Engkau
berkhidmat kepadaku
seakan-akan tiada hamba yang
lain selain aku.
Pada hal setiap hari para malaikat
menghantarkan kemaksiatanku
kepada-Mu seakan-akan aku punya
Tuhan yang lain selain Engkau.

Wednesday, October 28, 2009

Aku Masih Hidup

Kalau mercup kasih di langit
kalau jatuh titik nan jernih
kalau awan sentiasa putih
itu petanda doa nan kasih.

Kalau galah hendak menggapai
kalau jejambat hendak menyeberang
kalau kiambang penyeri kolam
itu petanda mentari nan cerang.

Jangan salai ciku kedondong
tapi salailah pari berbunga
jangan salahkan ibu mengandung
tapi salahkan diri yang pinta.

AMIHAD, 28 Okt 2009.

Monday, June 15, 2009

Selamat Hari Bapa

Al-Fatehah buat Ayahanda Mohd Nasir bin Palil
yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.30pagi,
8 Jun, 2009.

Lahir: 2 Jan, 1939.
Usia: 70 Tahun.

Beliau yang memelihara saya sejak usia 4 tahun.
Kepergian beliau amat dirasai kerana hanya
saya seorang anaknya.

Allahyarham sahabat karib Dr Ahmad Razali Yusof
semasa zaman bujang, berbasikal ke sana sini,
menikmati hidup serba sederhana tetapi ceria.

Dua buah puisi untuk beliau, belum sempat ditatap.

Semoga rohnya berada di sisi hamba-Nya yang
soleh.
Amin.

TK kepada teman-teman yang mengirimkan al-fatehah.
Semoga budi Tuan, Dia Balaskan.

Wednesday, April 29, 2009

Cinta Sayang

Cinta begitu agung
antara isi alam
langit dengan cakewala-Mu, Rabb
dan aku saban detik hanya berusaha
melurusi perjalanan insani
yang sering terfana dan alpa
oleh alur hidup, lopak atau
ranjau yang sengaja dan/ atas
olahku sendiri
di kulit bumi karya-Mu.

Ampuni aku, Rabb
saat aku meninggalkan
kulit Bumi karya-Mu nanti
saat rohku meninggalkan jasadi
yang sementara bukan hakiki
yang indah tetapi tak kurenungi
sekian untai nyawa yang kaupinjamkan
sekian-sekian usia.

AMINHAD,
ALOR SETAR,
29 April, 2009.

Umpama Malam Yang Dipinjamkan

Malam yang dipimjamkan kepadaku
telah sekian puluh tahun
tanpa sesen pun kulunasinya
dengan kekhusyukan amal
sejumlah arus nafas
yang kusedut dan/ kuhembus
barangkali dengan sejumlah
salur nadi atau pembuluh darah
dalam jasadku yang kian
mengering dan kecut ini
hutangku kian menggunung
sedang hayatku mengengsot
dan mendekat lagi ke liang.

Rabb,
ampuni aku,
ampuni aku,
sebelum sampai babak terakhir
itu.

STAR CUTY,
ALOR SETAR 2.15 PG

Tuesday, April 28, 2009

Puisi Kepada Sang Pelukis Detik (Kepada Sdr Halim)

Baru setengah hari kukenal
seperti aku telah menulis sepilih novel
seperti aku bertemu kembali al-marhum JM Aziz
yang mengungkap puisi di dalam gelap
dan kaupantulkan genta riwayatmu
sekarang menjadi sebuah kapal
yang menyelamatkan sepiku.

Terima kasih, saudara
semakin kukenal engkau senyum dan tawa
semakin kukenal ini makna derita
di dalam cembul pamcarobanya.

(Dukaku, ah, hanya secubit
daripada sekian duka pendatang yang
entah berapa lama kaubantu dan
terlonta-lonta).

212,
Hotel City Star,
Alor Star.

Inikah Kesesatan?

Sang laron melanggar marak api
sama seperti dua ekor kupu-kupu anak itu
ke sana ke mari mengusung luka batini
dari desah nafsu ke gelora segala tipu.

Inikah kesesatan?
Sang waktu terus bergerak berjajar
tak pernah berpatah balik
tak pernah mengenal di mana mula detik.

Inikah pilihan yang menyasarkan
wahai kupu-kupu anak?

Rumah Merdeka,
Alor Setar.

Inilah Kembara Riwayat

Di ruang yang terasa asing dan sepi
hanya menungan dan renungan ke dalam
pengubat peribadi
dalam diam, dalam dendam
nyahlah sepi
myahlah segala duka berapiiiiiiiiii!

Di lorong yang asing ini
di hadapan Masjid Zahir
dua ekor rama-rama menabrak lukaku
dan merabakkan sekian renungan
bahawa sepiku bukan untuk kesesatan
dukaku bukan untuk diri kubunuhkan.

Hadapan Istana,
Alor Setar,
1.16pg

Thursday, April 16, 2009

Selawat & Orang Bakhil

Maksud hadith Nabi SAW: Adapun si bakhil itu
adalah orang yang apabila namaku disebutkan
di hadapannya maka dia tidak mahu membaca
selawat untukku.

Wednesday, April 15, 2009

Menulis Selawat

Sesiapa yang menulis selawat pada satu benda atau kertas,
para malaikat sentiasa memintakan ampun dosanya
selama mana tulisan itu belum terhapus.

Mafhum al-Hadis.

Wednesday, April 01, 2009

Kisah Madu Pada Zaman Rasulullah

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Sa'id al-Khudri, ceritanya: Ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah, seraya berkata: "Saudara, saya sakit perut."
Rasulullah bersabda: "Minumlah ia dengan madu."
Orang itu lalu memberi minum saudaranya dengan madu kemudian datang lagi kepada Rasulullah SAW.
"Saya telah meminumnya madu, namun ia masih tetap sakit perut," kata lelaki itu. Baginda mengatakan itu sampai tiga kali lalu lelaki itu datang untuk yang keempat kalinya.
Rasulullah bersabda: "Minumlah ia madu."
Orang itu menjawab: "Saya sungguh telah memberinya minum madu, namun ia tetap sakit perut."
Baginda kemudiannya bersabda: "Allah Maha Besar dengan firmsn-Nya, dan yang berbohong adalah perut saudaramu."

(Sakit perut yang dimaksudkan dalam kisah ini ialah cirit-birit. Apabila Baginda Nabi SAW memberikannya sendiri sedikit madu, maka sembuhlah sakitnya. Hal ini disebabkan oleh karaktor madu yang berperanan sebagai resistan kuman/ bakteria).

Tuesday, March 31, 2009

Entah Terluka

Entah terluka atau tidak
tikaman orang yang
suka berahsia
dan menyembunyi
cerca caci di dalam belati
senyuman di dalam tajam duri.

AMINHAD,
SERDANG, SELANGOR.
Akhir Mac, 2009.

Amal

Amal dan makruf
serupa titian.

Amalnya menjadi kebenaran
makrufnya menjadi pedoman.

Serdang,
November, 2008.

Doa Selepas Membaca Surah al-Waqi'ah

Ya Allah, turunkanlah hidangan bagi kami
dari langit sebagai keraian, iaitu bagi
orang-orang yang bersama kami, dan yang
hidup selepas kami, serta menjadi bukti
atas kesusahan-Mu. Berilah rezeki untuk kami,
kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki.

Ya Allah. Sekiranya rezeki kami berada
di langit, maka turunkanlah ia. Jika ia
berada di bumi, keluarkanlah ia, dan jika
ia berada di dalam lautan, munculkanlah.
Sekiranya rezeki kami berada di tempat
yang jauh, dekatkanlah ia. Jika ia
sedikit, banyakkanlah ia. Dan jika caranya
sukar untuk sampai kepada kami, mudahkanlah
ia, serta pindahkanlah rezeki tersebut
kepada kami, dengan kemuliaan, kemurahan
dan kebaikan-Mu, dengan rahmat-Mu, wahai
Yang Maha Mengasihi antara yang pengasih.

Monday, March 16, 2009

Kesempitan yang Mendera

Hujan mendera rasa
pun waktu memburu usia
tatkala gerimis membasahi hamnparan senyum
dan tumitmu terluka oleh olah noda.

Kesempitan memang mendera
sedang kedut semakin menghias muka
sementara dugaan semakin mencengkam
dalam pahit masi tak tertelan,
sekadar dikemam.

Inilah beza lembaran hayat antara kita
kesempitan dan kelapangan menjarakkan cara
sedang rel hidup perlu terus disusuri
hari ini bertatih mungkin esok boleh berlari.

AMINHAD,
Presint 9, Putrajaya.
5.03 petang.
16 Mac, 2009.

Saturday, February 14, 2009

Pesanan Saidina Ali (Imam Ali)

Hidup dalam kekalahan
sebenarnya adalah kematian,
dan kematian dalam keadaan
penuh penghormatan
adalah sebenarnya kehidupan.

Friday, February 06, 2009

Terbakarlah Pendinding Setelah Berselawat

Daripada Anas bin Abd Malik r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda:

"Tiada doa seseorang melainkan ada pendinding (penghalang) antara
doanya dengan langit sehingga dia membaca selawat kepada Nabi
Alaihi Salatu wassalam.Jikalau dia sudah membawa selawat kepadanya
maka terbakarlah pendinding itu dan masuklah (naik/ diangkat)doa
ke langit. Kalau tidak membaca selawat, maka kembalilah doa itu
(tidak dikabulkan doanya)."

Kemestian Memberi Nafkah kepada Bapa

Daripada Jabir bin Abdullah r.a., Rasululullah SAW
bersabda: "Diri engkau dan harta engkau adalah
untuk bapa engkau."

Hadith Riwayat Ibn Majah.

Syurga Di Bawah Tapak Kaki Ibu

Daripada Jahimah al-Sulami, beliau menemui Rasulullah lalu berkata:
"Wahai Rasulullah. Saya ingin berperang. Dan saya datang untuk
berbincang.
Rasulullah bertanya: "Adakah engkau mempunyai ibu?"
Beliau menjawab: "Ya."
Rasulullah SAW bersaabda: "Dampingilah dia. Sesungguhnya syurga
terletak di bawah di kedua kakinya."

Hadith Riwayat al-Hakim.

Thursday, February 05, 2009

Minum di Telaga Nabi SAW

Dari Abdullah bin Amru bin Ash, Nabi SAW bersabda: "Telagaku sejauh perjalanan sebulan dan sudut-sudutnya sama. Airnya lebih putih daripada perak dan baunya lebih harum daripada kasturi. Gelas-gelasnya sebanyak bintang di langit. Barang siapa yang haus minum di situ, dia tidak akan haus selama-lamanya."

(Hadith Riwayat Bukhari)

Untuk berpeluang minum di telaga Nabi SAW, banyakkanlah berselawat kepada baginda.

Tuesday, February 03, 2009

INDAH BUNGA POPI

Inilah dia bunga popi
indah rupa menawan
kesannya padah
dan korban.

Berguru jangan!

AMINHAD,Seri Indah,
3 Februari, 2009.
(Selasa)

Kata Pesanan Saidina Ali Mengenai Perempuan

Perempuan itu banyak kekurangan kerana tiga perkara:
1. Kekurangan akal, disandarkan dengan hujah
Dua perempuan menjadi saksi bersamaan seorang lelaki.
2. Kekurangan bahagian warisan, disandarkan dengan hujah
Setiap perempuan mendapat sebahagian daripada keseluruhan
pusaka berbanding lelaki mendapat satu bahagian.
3. Kekurangan iman, disandarkan dengan hujah
Perempuan, solat dan puasanya tidak pernah cukup
kerana keuzuran.

Selawat pada permulaan dan akhir doa

Bahawa doa itu berhenti di antara langit dan bumi, tidak naik barang sedikit pun jua daripadanya sehinggalah engkau berselawat untuk Nabimu (dan keluarganya).*

(Hadith riwayat Tarmizi)

Thursday, January 22, 2009

Majoriti Penghuni Syurga dan Neraka

Daripada Ibnu Abbas dan Imran bin Hushain r.a. daripada Nabi SAW, sabdanya: 'Aku melihat ke dalam Syurga, maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah dalam kalangan orang-orang yang fakir. Dan aku melihat ke dalam Neraaka, maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripaa golongan perempuan'.

Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wednesday, January 14, 2009

WASIAT ANAK KECIL DENGAN KEPALA YANG TERBENAM

WASIAT ANAK KECIL DENGAN KEPALA YANG TERBENAM
DALAM KERIKIL TAJAM RUNTUHAN RUMAHNYA SENDIRI


Kepala anak kecil itu tersepit antara runtuhan rumahnya
sendiri. Matanya terkatup seperti mata Zionis yang sengaja dibutakan!
Mulutnya terbuka sebaik sudah memohon pengampunan dan belas
tetapi tidak dibalas. Dia kini sudah tidak memiliki suaranya sendiri seperti
para pejuang berani mati yang mempertahankan permai bumi dan
halaman terindah tempat mereka bersenda dan berlari-lari.

O kelmarin, anak itu benar-benar kepingin sepotong roti dan seteguk sarbat kerana
lapar dan dahaga. Lapar kewarasan dan dahaga simpati sebaik
mendengar genta kekejaman dilepaskan ke sebelah hospital Shifa dan
Shejaiya, Haus pertimbangan akali tatkala ada warga emas di Rafah,
sempadan Mesir dipaksa memamah peluru Israel sebagai
makan malamnya yang terakhir.

Aduhai, anak kecil itu kini terus dilupakan seperti hancurnya batu-batu atau
besi yang kian memburuk. Hancur dan memburuk dari reruntuhan
peradaban bangsa bernama manusia spesies Israel yang
habitatnya bukan di Segenting Gaza tetapi terus membutakan mata
dan/ hatinya daripada melihat kutukan seluruh cakerawala!

Nyah kau Israel dari tanah Beit Lahiya yang terus merana! Nyah kau Yahudi
dari kem pelarian Ein el-Hilweh, Sidon yang sekian jumlah sengsara
semakin terhimpun! Nyah kau petualang dari bumi Baitulmaqdis kerana
50 seranganmu terhadap orang kampung, anak kecil, masjid, tanah perkuburan
dan sekolah itu benar-benar menyerlahkan engkau sadis! Berambus kau
dari sempadan Erez dan Jabaliya yang semakin terluka, parah, musnah,
luluh, hancur, berderai, berkecai, dan berkecai segala-galanya! Segala-galanya.

Tataplah wajah anak kecil dengan kepala yang terbenam dalam kerikil tajam
runtuhan rumahnya sendiri itu. Dia tidak sempat mengakhiri riwayat yang
hendak dikisahkan kepada teman-teman sebayanya bahawa esok, dia
tidak sempat melihat dan/ menghantar jenazah sahabat dan/ saudara-maranya yang
sedia terkepung itu sesudah diberi sarapan mortar, dan/ peluru yang dimuntahkan
dari mulut burung maut, dan/ sang kalveri yang teramat kejam!

”Selamat tinggal kekejaman,” rintihnya. ”Ketentuanku sudah tiba. Aku reda
dijemput maut. Tapi, kalian yang masih berombak nafasnya, tolong,
tolong terus urus dan renjiskan benih kemanusiaan yang semakin kering ini.”
Begitu wasiatnya. Wasiat anak kecil dengan kepala yang terbenam dalam kerikil tajam
runtuhan rumahnya sendiri....

AMINHAD,
Jalan P9G/1, Presint 9, Putrajaya.
10 – 16 Muharam, 1430 H.

Friday, January 09, 2009

Selamat Ulang Tahunku yang Terlewat (28 Disember)

Hari lahir seperti rel tren yang
menunggu laluan wajib tanpa boleh diubah
kerana akan ada tangan-tangan petaka yang
melambai-lambai ke lohong maut
akibat perlanggaran dahsyat. Dan mati
seperti tanda noktah tanpa koma yang
berupaya meranggas kedut dan kerut
kerana sang ajal telah tiba menghulurkan
pedangnya untuk memancung tali nyawa,
tanpa perlu sebarang peluit sebagai amaran
atau kasihan belas sebagai penangguhan,
walau sedetik pun. Walau sedetik pun.

Selamat ulang tahun diriku yang
tak kuasa menahan kecut dan kerut
atau mengelakkan pigmentasi jasadi
kerana doa dan selawat kekasih-Mu
moga menokok takah imani, ukhrawi,
insani, Islami....

Serdang,
12 Muharam, 1430 H.