Thursday, May 29, 2008

Yang Lain Kita Cerita Kemudian (Semoga Kau Damai Di Sana) Buat Allahyarham Admua MN

Itulah ayat pesanan ringkas terakhirmu
mencatatkan nama dan nombor Amirudin Ali yang kupinta
tetapi baru kelmarin kusedari setelah kaukembali
6 Mei itulah kau sudah berada di wad
sesudah aku menelefonmu dua jam kau sudah berada di situ.

Memang cerita-cerita biasa
dan suaramu ceria serta ghairah mahu berkongsi cerita
tentang susu alphalipid yang dikirim cikgu Ali
tetapi belum sempat kaujamah
aku terkedu seketika kerana sudah seminggu
susu pos laju itu dari ampang diterima kadar sehari cuma.

Kata doktor kau disyaki sakit paru-paru dan jantung
tapi telah dua jam belum ada perkembangan menguntung
dan entah kenapa selepas 20 minit berbual aku kerap mengulang-ulang:
Kau berehatlah
Kau berehatlah.

Jam 2.29 itulah pesanan ringkas akhirmu kutatap kini
dan Sham Al-Johori mencatatkan 7901 nombor nisan dinginmu, sahabat
kelmarin di akhbar bukan ceritaku yang tersiar kepada Alias Ismail
engkau nampak bersih dan mulus merenung terpaku aku
aku tahu engkau tidak mungkin lagi menelefon atau menyakat
kerana satu-satunya sahabat yang berbual kerap setengah jam bukan lain
hanya engkaulah orangnya dengan dekah ketawa dan usik ceria
mencari bidadari, mencari pasangan yang ketemu tetapi entah rasinya.

Kini aku tahu, bidadari temanmu doaku
menemani dan mengiringimu ke mana-mana nanti.

Selamat jalan sahabat,
benar hidup ini singkat
sungguhpun aku dekat; mengenalimu lebih suku abad.

- AMINHAD,
UPM, 29 Mei, 2008.
5.53ptg.

Tuesday, May 13, 2008

Langkawi dari Atas

Dari atas caing-caing putih awan
aku menatap kekerdilanku semakin terkecai-kecai
tak berupaya menghimpun awan menjadi hujan
tak berupaya terbang menjelajahi angkasa lapang.

Ini mayapada menemukan cinta-Mu dalam insafku
aku menatap kebesaran-Mu semakin bersatu
tak berupaya menolak waswas menjadi tunas awas
tak berupaya menepis sujudku mengejar sinar arasy.

Dari atas Langkawi laut dan langit bersatu
aku di antaranya terkedu mencicip syukur madu.

AMINHAD,
Dlm perjalanan udara KL-Langkawi,
12 Mei, 2008.

Thursday, May 08, 2008

Keburu Waktu


Waktu tak pernah berjanji
uktuk kesekian kali atau sekali pun
tidak pernah memungkiri janji
kepada mentari dan bulan
yang mengitari cakerawala
dan lariannya deras terus
ke destinasi infiniti.

Waktu tidak akan mati
zat yang wujud tetapi tidak maujud
zat yang tiada rupa tetapi dihitung juga
dengan nama detik atau
hari yang terus berganti membilas
mnggu, bulan, tahun, dan kurun
lalu lariannya deras terus
ke alam firdaus.

Waktu akan terus beredar
tetapi insan tak upaya mengejar.

Waktu akan terus berdiri
tetapi insan akan tiba hari dia mati.

AMINHAD,
UPM-PUTRAJAYA-SMKSI.

Tuesday, May 06, 2008

Perjalanan adalah Waktu yang Menunggu

Benar kita pandai berjalan
tanpa nyedar di sisi tetap ada
nafas dan lelah juga
gelisah dan pasrah
pada rel waktu yang berjajar
kita bertatih detik demi detik
menelusuri stesen demi stesen
sebelum akhir waktu itu datang.

Benar,
perjalanan adalah waktu
yang menunggu
sungguhpun kita sebenarnya
sedang berpergian ke mana-mana
sungguhpun sebenarnya kita
berangkat menuju kepada-Nya.

AMINHAD,
Putrajaya.