Thursday, January 22, 2009

Majoriti Penghuni Syurga dan Neraka

Daripada Ibnu Abbas dan Imran bin Hushain r.a. daripada Nabi SAW, sabdanya: 'Aku melihat ke dalam Syurga, maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah dalam kalangan orang-orang yang fakir. Dan aku melihat ke dalam Neraaka, maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripaa golongan perempuan'.

Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wednesday, January 14, 2009

WASIAT ANAK KECIL DENGAN KEPALA YANG TERBENAM

WASIAT ANAK KECIL DENGAN KEPALA YANG TERBENAM
DALAM KERIKIL TAJAM RUNTUHAN RUMAHNYA SENDIRI


Kepala anak kecil itu tersepit antara runtuhan rumahnya
sendiri. Matanya terkatup seperti mata Zionis yang sengaja dibutakan!
Mulutnya terbuka sebaik sudah memohon pengampunan dan belas
tetapi tidak dibalas. Dia kini sudah tidak memiliki suaranya sendiri seperti
para pejuang berani mati yang mempertahankan permai bumi dan
halaman terindah tempat mereka bersenda dan berlari-lari.

O kelmarin, anak itu benar-benar kepingin sepotong roti dan seteguk sarbat kerana
lapar dan dahaga. Lapar kewarasan dan dahaga simpati sebaik
mendengar genta kekejaman dilepaskan ke sebelah hospital Shifa dan
Shejaiya, Haus pertimbangan akali tatkala ada warga emas di Rafah,
sempadan Mesir dipaksa memamah peluru Israel sebagai
makan malamnya yang terakhir.

Aduhai, anak kecil itu kini terus dilupakan seperti hancurnya batu-batu atau
besi yang kian memburuk. Hancur dan memburuk dari reruntuhan
peradaban bangsa bernama manusia spesies Israel yang
habitatnya bukan di Segenting Gaza tetapi terus membutakan mata
dan/ hatinya daripada melihat kutukan seluruh cakerawala!

Nyah kau Israel dari tanah Beit Lahiya yang terus merana! Nyah kau Yahudi
dari kem pelarian Ein el-Hilweh, Sidon yang sekian jumlah sengsara
semakin terhimpun! Nyah kau petualang dari bumi Baitulmaqdis kerana
50 seranganmu terhadap orang kampung, anak kecil, masjid, tanah perkuburan
dan sekolah itu benar-benar menyerlahkan engkau sadis! Berambus kau
dari sempadan Erez dan Jabaliya yang semakin terluka, parah, musnah,
luluh, hancur, berderai, berkecai, dan berkecai segala-galanya! Segala-galanya.

Tataplah wajah anak kecil dengan kepala yang terbenam dalam kerikil tajam
runtuhan rumahnya sendiri itu. Dia tidak sempat mengakhiri riwayat yang
hendak dikisahkan kepada teman-teman sebayanya bahawa esok, dia
tidak sempat melihat dan/ menghantar jenazah sahabat dan/ saudara-maranya yang
sedia terkepung itu sesudah diberi sarapan mortar, dan/ peluru yang dimuntahkan
dari mulut burung maut, dan/ sang kalveri yang teramat kejam!

”Selamat tinggal kekejaman,” rintihnya. ”Ketentuanku sudah tiba. Aku reda
dijemput maut. Tapi, kalian yang masih berombak nafasnya, tolong,
tolong terus urus dan renjiskan benih kemanusiaan yang semakin kering ini.”
Begitu wasiatnya. Wasiat anak kecil dengan kepala yang terbenam dalam kerikil tajam
runtuhan rumahnya sendiri....

AMINHAD,
Jalan P9G/1, Presint 9, Putrajaya.
10 – 16 Muharam, 1430 H.

Friday, January 09, 2009

Selamat Ulang Tahunku yang Terlewat (28 Disember)

Hari lahir seperti rel tren yang
menunggu laluan wajib tanpa boleh diubah
kerana akan ada tangan-tangan petaka yang
melambai-lambai ke lohong maut
akibat perlanggaran dahsyat. Dan mati
seperti tanda noktah tanpa koma yang
berupaya meranggas kedut dan kerut
kerana sang ajal telah tiba menghulurkan
pedangnya untuk memancung tali nyawa,
tanpa perlu sebarang peluit sebagai amaran
atau kasihan belas sebagai penangguhan,
walau sedetik pun. Walau sedetik pun.

Selamat ulang tahun diriku yang
tak kuasa menahan kecut dan kerut
atau mengelakkan pigmentasi jasadi
kerana doa dan selawat kekasih-Mu
moga menokok takah imani, ukhrawi,
insani, Islami....

Serdang,
12 Muharam, 1430 H.