Wednesday, September 24, 2008

Cemas

Cemas bukan sama
antara perasaan lemas,
rimas, ataupun gemas.
Dugaan mencemaskan
bukan sehari
kerana getar dan debar,
tak sama dengan dedar,
ataupun nanar.
Demikian gunungan cemas
membiak dalam jantungku
yang mengepam rasa linglung
bukan seketika atau
sekejapan cuma tetapi
sampai sekian usia
yang kami sendiri tidak
pernah pasti.

Kalian tahukah bila
cemasku akan hilang<

AMINHAD,
Putrajaya - SS.

Monday, September 22, 2008

Ramadan Ini Kami Diduga

Benar hanya dugaan
daripada-Mu yang tentu
Yang Maha Tahu
Yang Maha Pemberi
tetapi aku bermunajat
ringankan dan rungkaikanlah
dugaan ini kerana benar
terasa amat sekali beratnya
terpanggul di pundak
sampai aku tak pandai gelak.

Mohon ampunkan
segala salah kami
sesiapa waima orang yang iri
atau pernah disakiti tak disedari
atau makhluk yang halusinasi
maafkanlah kami
kerana manusia adalah makhluk
bukan sempurna serba-serbi.

Ya Allah, dengarkanlah ini
munajat kami selain yang tumpah
di atas sejadah
selain yang mengapung
di malam-malam rahsia-Mu,
yang sekian tak terhitung itu.

AMINHAD,
Putrajaya - SMKSI.

Monday, September 15, 2008

Rahsia di Sela-sela Lailatulqadar

Di sela-sela antara pagi dan malam
tercaing-caing doa tak terhimpun
tertolak-tolak permohonan ampun
antara kaki kiri dan tangan mencuri
antara suci hati atau mengerling ajnabi
pada himpunan sekian malam dingin dan sepi
dingin dan sepi menghening peribadi.

Antara roh yang terapung dan kasih nan ampuh
terlegar-legar permohonan sekian ampun
menerawang tak menjejak ukhrawi
menyusup naluri sekian karenah manusiawi
antara doa alif sampai ya
antara doa mulus dan reda-Nya
Lailatulqadar menyembunyikan segala rahsia.

AMINHAD,
SMKSI - Putrajaya.

Saturday, September 13, 2008

Titik Tuhan

Kuhumbankan roh ke luar cakerawala
terangkat mencari jejak
menerawang mengesan Bumiku
namun segalanya fana di kejauhan ini
sedebu pun tak terjangkau mata.

Semakin aku terbuang jauh dan
menjauhi planet dan galaksiku
seribu tahun cahaya gerakku
dua ribu tahun cahaya terbangku
belum kutangkap di mana arasy-Mu.

Akhirnya aku tahu, egoku hanya
keangkuhan yang membesarkan gah diri
sedang kehebatan itu tidak setitik pun
membesarkan kagungan-Nya dan aku
memusnah segala amal kemudian fana.

Titik Tuhan ingin kembasli kulekatkan
agar membesar menjadi titik iman
yang mengental dan kejap
mengeras dan membesar
di bawan kubah-Mu, Rabb.

Bimbinglah aku dalam degup dan pencar
sinar Ramadan nan mulus ini
biar sekian gegar dan gentar jiwaku
mengusung dosa ke langit azam
menjunjung harap di bentangan al-Qadar.

Tapi, dapatkah?

AMINHAD,
Serdang-Putrajaya.

Wednesday, September 10, 2008

Gurindam Anak Cakerawala

Mengitari bulan
tak semestinya purnama
menjenguk ke dalam cakerawala hayat
tak semestinya berupaya mengkoreksi imani.
Kitaran yang pasti
menguningkan mengeringkan
daun-daun usia pada kering lalu gugur
di atas sejadah pasrah
yang menggugurkan butiran keinsafan.
Di bawah pohon kegugupan
genta usia dan getar onar
acapkali membedal tembok hayatku
yang kian rapuh dimakan halilintar.
Nanti kita sedar
makhluk putih itu akan membaluti diri
dia juga menyelimutkan sejuta rahsia
di liang hanya Yang Maha Tahu, Dia.
Ramadan ini pantas berkalih
sepantas kitaran subuh dan senja
sedang detik tetap bertatih serupa juga
menunggu esok bilakah di kiblat terbit ia.

AMINHAD,
Serdang - UPM.

Tuesday, September 09, 2008

Salam dari Tanah Jantung

Selamat pagi pisang
terima kasih kerana mengenalkan aku
akan bentuk jantungmu yang
mengakrabkan kasihku kepada
sumber tani yang subur
dan enak kasih rumah rukun bangsa
sekian lama.

Selamat petang daun pisang
yang segar tetapi kerap senang carik
ranggas angin keras menjuraikanmu
mengakibatkan kasihku kepada
sumber alam yang hijau
dan enak nasi daun halaman permainan bangsa
sekian musim menguja.

Dalam jauh kau pasti terpandang-pandang
getar batang pisang pinggir bendang
atau pisang rebus penganan ke sekolah
seperti ubi rebus berikan masin
atau ubi keledek yang enak digoreng
tetapi semakin sukar kau ratah kini.

Inilah harga berjauhan dengan tanah jantung
kerana biar kita semakin jauh
dalam jauh kita semakin hampir sungguh!

AMINHAD,
SMK Seri Indah, Seri Kembangan, Selangor.

Saturday, September 06, 2008

Menekuni Waktu

Ketika gerimis tumbuh
aku menekuni ukiran waktu
yang tidak pernah berkurang
sebaliknya terus meningkat
dalam gulungan usia
yang kian menyusut.

Ketika mentari tersenyum
aku menekuni panahan teriknya
yang tidak pernah berkurang
malah kelak memarak
di gejolak dosa.

Kutekuni susuk diriku
kian kecut dan goyah
yang tidak mungkin bugar kembali
sebaliknya makin memesrai pigmentasi
ke penghujung biodata.

AMINHAD,
SMK Seri Indah - Putrajaya.

Wednesday, September 03, 2008

Ramadan Nan Mulus

Sayap para malaikat melayah
meredupi mahkluk bernama Ramadan
yang suci lagi mulus
menempati pembuluh kehidupan
anak Adam yang selalu gelisah
oleh onarnya sendiri. Kini
saat datang sorotmu, Ramadan
sekadar sepurnama dalam setahun
dosa-dosaku mohon dihapus
sebelum jasad elok terbungkus.

Ya qahhar, ya wahhab
ya razak, ya qawiy
hanya Kau yang tahu
permohonanku ini.

AMINHAD,
Seri Indah - Putrajaya.
3 Ramadan 1429.