Monday, December 31, 2007

Selamat Ulang Tahunku yang Terlewat

Ini bukan sajak tetapi catatan. 28 disember lalu, aku dan anakku Nur Hanani Husna (10) yang berkongsi tarikh lahir hanya meraikannya dengan kek keju berat 1kg dan terus duduk di rumah. Tidak makan di luar. Tidak berhibur alau melabur. Hujung tahun memang kesibukan mencengkam kami. Anak-anakku pun tidur kurang. Ada yang menaip. Ada yang memijak-mijak belakangku. Ada yang sengaja menunggu aku dan bertanya: Orang tua memang suka kerja ya, ayah? kata Muhammad Faris Akhtar, 5 tahun, pada pukul 4.45pg. Barangkali dunia penulisanku tidak sesepi tman-teman yang suka bersendiri semasa mengarang seperti Azizi (yang mengurung diri dalam hotel tanpa gangguan) lagi sejak akhir-akhir ini. Aku tidak memaksa,cuma aku kasihan mereka akan jadi seperti burung kakak tua - seperti bapanya juga.

Ulang tahun kelahiranku dapat kukesani sama tarikhnya dengan mendiang Mao Tze Tung dan Elvis Priesly yang konon teorinya masih hidup lagi. Aku merenung sendiri keluarbiasaan yang mereka miliki. Mereka menjadi legenda tersendiri dan ketika aku melawat Tien An Mien yang ada foto Mao itu, dimaklumkan bahawa rakyat China pecaya Mao memiliki keistimewaan seolah-olah dewa. Matinya diratapi dan setelah sebulan Panglima Perangnya terlebih dahulu mati. Hujan turun buat beberapa hari seperti meratapi kematiannya. Panglima perangnya akan menunggu "di sana" untuk menjaganya di alam yang lain. Itu kepercayaan mereka yang kuperoleh daripada Michael, yang pandai erbahasa Melayu loghat Indonesia, anak seorang dan turut mahu menjadikannya manusia luar biasa.

Aku? Cukuplah menjadi seorang yang beriman sepanjang zaman. Amin.

Selamat Tinggal Kedukaan 2007

Sesudah terpacak duri di lembut telapak
aduh hanya sekadar penghibur fana
darah hanya gambaran terbuka
bahawa kulit sudah robek
dan isinya menyerlahkan merah.

Sesudah terpacak niat di lembut nubari
aduh sekadar hanya cobaan duga
darah gambaran hanya pengorbanan
bahawa luar diri menggambarkan dalam rapi
dan isinya menyerlahkan cinta Rabbi.

Sesudah terpacak bilah-bilah hari
tumbang juga ia oleh olahan waktu
darah hanya gambaran pertumpahan niat
bahawa luar dan dalam diri hangus sudah
dan isinya menyembunyikan karenah.

Sesudah terpacak keangkuhan insani
berdiri ia sebagai besi yang konon hakiki
darah menjadi percikan dan lukisan
bahawa kemanusiaan hanya layangan perjuangan
enggan menanjak renggut atau putuskan saja tali!

Selamat tinggal kedukaan 2007
engkau mengajar aku lebih awas dan tidak polos
engkau mengajar aku siapa lawan atau kawan
kerana darah kini bukan sahaja tidak berharga
simpati atau kasihan hanya ada udang di sebalik batunya.

AMINHAD,
Serdang,
31 Disember, 2007.

Wednesday, December 05, 2007

Dia Sahabat

Sekian lama merenung
ke dalam lubuk pergulatan ilmu
aku termangu sendiri di pojok
melihat kerdip bintang
berkilauan di dadamu
saban hari, sahabat.

Ingin kugapai senyummu
yang mercup bagai lintas bintang
dari ufuk timur ke barat
dari ufuk utara ke selatan
tetapi waktu telah menjaraakkan
nilai penamu yang berukir emas.

Salam sahabat, aku bersyukur
kerana masih sempat mengesan
jejak-jejak semalam
kerana hidup yang pasti anugerah
persahabatan yang pasti meriah
seperti beza jari di tangan ini.

AMINHAD,
047, UPM, Serdang,
5 Dis, 2007.

Monday, December 03, 2007

Kelmarin Telah Berlari Pecut


Sesekali aku benar kepingin
menghambat waktu silam
untuk kujerat dan kutuang
ke dalam pila mnumanku
saban pagi. Tapi impian itu
semakin lenyap sebaik embun
di ujungan rumput mengering
seperti kulitku yang
kian kering dan berkerut
dimamah lindapan usia.

Sesekali aku benar kepingin
menjerut waktu dahulu
untuk kubunuh sahaja gerak
dan pertambahan detik jam
yang enggan diam saat
demi saat saban petang. Tapi
hasrat itu bertambah lesap
sebaik terik mentari pun
menjadi redup dan arloji
jantungku terus bergoyang
seperti denyut nadi
yang masih menggetar.

Hanya salam rinduku
kepada usia silam. Hanya
terima kasihku kepada
kenangan lalu yang telah
berlari pecut meninggalkan
nisan keinsafan yang amat
mengesankan batini ini.

AMINHAD,
3 Nov 2007,
SMK Seri Indah, Serdang.