Wednesday, May 23, 2007

Sajak-sajak Keberangkatan Sebuah Rindu

Sajak i

Engkau Menjadi Saksi, Kundasang

Kenyit dan sorot fajar dari sebalik tabir jiranmu
menggamit rinduku kepada-Mu, Kekasih
atas makna destini ini hayat, Aminhad
merenangi gurindam keberangkatan penaku
yang meggores tompok kabus dan caing dingin
menyelinap ke saraf dan urat-urat puisi
satu demi satu menyisir ilhamku
rapi dalam geluk intuisi
merenung ke dalam.

Sebutir mutiara seorang Shamsudin Othman
yang berkelip di kaki jiranmu, Kinabalu
kemudian menggelungsur dan mencairlah
membenahi lapis-lapis dan gugus imani
bahawa dalam gerimis yang tumbuh
dari langit ke tanah
sebenarnya sekian banyak aksara rindu
dan pertanyaan yang jatuh
ke muara sebak seorang amirulfakir!

Yang bisu tetapi menjadi saksi, engkaulah Kundasang
keagungan-Mu ada di mana-mana, al-Khaliq....

AMINHAD,
Kundasang-Kota Kinabalu, 10 Mei 2007.


Sajak ii

Kundasang: Cinta Memberikan Makna Baru

Kundasang, di sini ada Cinta yang menyelinap
dalam diam dingin tubuhmu mendakap kejap
seperti perkasihan engkau dengan Kinabalu
pada sela-sela awan yang gentayangan
pada sela-sela kabus yang putih mulus
Dia iradat yang tidak mungkin berhalangan
bukan seperti aku yang tidak hakiki sungguh
atau seperti mercupnya azan subuh seawal 4.50
& jejari malammu mengetuk ini alam khayaliku
sebelum sempat ke Laban Rata, ke Gunting Lagadan,
ke Sayat-sayat atau ke Puncak Victoria1 itu
maka aku sudah tergugah, sungguh tergugah aku
kerana sebentar lagi akan bergantilah gelar hari.

Kuhitung tasbih kesedaran dan keinsafan diri
antara kejujuran dan kesetiaanmu
yang menggamit rindu dan cinta-Nya
atas pertemuan singkat tetapi akrab ini
menjadikan aku bisu dan terdiam
oleh puputan dingin nafasmu, Kundasang
kerana perjalananku ini adalah ilmu
yang mengajarku erti Kudrat dan Baqa
sedang hayatku sekadar jajaran langkah
& yang kulihat benar bukan sekadar lembah
akasperbukitan & roh perdesaan yang maujud
sedang Kinabalu punkekal tidak berpergian
bertahan berdiri pun suatu detik rapuh juga.

Seperti aku memang menyamai segala yang baharu
Rabb, akulah sebenarnya sekerdil-kerdil insan!

_________
1 persinggahan pendakian ke puncak Kinabalu

AMINHAD,
Kudat-Kundasang-Ranau-KK, 7-10 Mei 2007.


Sajak iii

Batang Sarawak: Saat Aku Memuaraimu

Sekian jumlah bilah hari yang kutinggalkan
kini menjadi sekian berkas rindu
yang tak terungkap oleh sekian banyak aksara
saat aku kembali mendakap perutmu
berantara rabung payun1 pak tambang
ke Kampung Gersin mencari Dayang Salhah
kek lapis tradisi peribumimu yang meriah
enak berseri dengan ramuan senyum Lia
bagai kelazatan yang aneh dan berlapis-lapis
belum kukunyah terasa sudah ke tenggorokan.

Tetapi di tebingmu masih tersergam sebuah Astana
di seberang yang bertentangan ada
Fort Magheritta tinggalan Rajah
Pangkalan Batu dan Pangkalan Sapi masih begitu
menampan riak-riak perahu pak tambang
menampan aura sekian mercup pembangunan
kucing-kucing comel sudah pun menjadi tugu
deretan gerai kraf pandai menggamit pelancong
dan gambir penawar bisa tiba-tiba
melonjak nama di pesisirmu.

Kelmarin kukenal Batang Rajang dan Batang Belawai
sendunya seolah-olah sepertimu yang murung
yang sering menghimbau ranjang luka
negeri terbelenggu nestapa
tangis Rosli Dhoby masih tersangkut
di kelopak mata anak bangsa
yang mengenal erti harga nyawa seorang pejuang
tenggelam di muaramu pun akan timbul juga
di Belaga, di Kapit atau Long Kevok
bahawa erti cinta merdeka adalah guru kemanusiaan
mesra, damai, bersalaman adalah makna lain
hidup gemilang dengan tangan bergandingan.

Engkau di seberang sana, Bumi Kenyalang
aku di seberang sini menatap rindu & sayang....

__________
1 sejenis perahu berbumbung

AMINHAD,
Kuching, 25 April, 2007.

Tuesday, May 22, 2007

Gegar Gentar dan Genta Perasaanku

Tanpa dirancang, aku dan seorang sahabat, (nama penanya mayang) telah berkunjung
ke Bukit Jalil (yang lebih 5 tahun aku tak kunjungi) pada hari final AF5 atas beberapa alasan: i mendapat informasi daripada
glateh bahawa ghalibyunus berada di situ selaku penggerak utama kelab penyokong
heliza bereh, mencari lokasi untuk novel remajaku yang entah berapa kali sudah bertukar
watak dan pengisahan sejak 5 tahun lalu, dan urusan bisnes.

Wah, sebaik sampai ke lokasi AF5 itu, tak pernah terfikir aku bahawa manusia yang mahu
berhibur seramai itu! Anggaranku, lebih 10 ribu, lebih ramai daripada penonton bola sepak di Stadium Shah Alam! Wah, bergegar dengan rasa gentar, dan dengan genta amat hebat
perasaanku melihatkan semua tingkah remaja. Pelbagai aksi kulihat dengan mata kepalaku
sendiri. Aku Memandang dengan MATA YANG TERCENGANG!

Benarlah, saat remaja di dunia sebelah lain menggadai nyawa untuk BERJIHAD, remaja
Malaysia sekadar bangga dengan acara BERFOYA-FOYA. Tiba-tiba aku teringat sajak:
Malangnya Nasib Bangsaku yang entah bila aku hasilkan.

...di sini sekian senja tak pernah berbau peluru
lalu kalian bergelut dalam longgokan nafsu
menebar mimpi menangguk ilusi
sedang pencatat itu terus bertugas pantas
menghitung debu-debu amal yang terbang
begitukah nasib bangsaku alangkah malang?

Wednesday, May 16, 2007

selamat hari guru 2007

apabila tiba hari guru, aku terkenang akan guru-guru yang secara tidak kusedari telah menjadikan aku tercebur dalam dunia kesuasateraan ini.. atas tuntutan naluri tentunya, aku menajdi deklamator dan penggubah puisi bagi guru-guru yang akan berhijrah meninggalkan sekolahku -- smk pulau lumut (pulau indah) sekitar 1971-73. di situlah agaknya mulanya mercup benih karyaku.
dengan bantuan guru-guru juga aku berjinak-jinak dengan dunia seni lukis. cikgu mohd ali kunji makarar, guru yng mula-mula mengenalkan aku dengan konsep modern art dan abstrak. itu semasa aku darjah 5!
di sekolah menengah, guru-guru menggalakkan aku menyertai pertandingan Manusia dan Alamnya anjuran Balai Seni Lukis Negara. aku sekadar mahu turut serta, bukan mahu menang kerana usiaku baru mencecah 14 tahun!
di mpti, johor bahru, aku masih giat melukis -- walaupun opsyenku, sains pertanian. aku mengadakan pameran solo sekitar j bahru, kl, kelantan dan terengganu sekitar 1982. ternyata bakat atau minat hanya tinggal begitu sahaja atas nama tugas di kebun jagung, kacang tanah, dan di reban ayam -- ketika aku bertugas di sarawak.
guru sememangnya penyuar lorong dan jalan kehidupan insan!
terima kasih cikgu!

apabila mendekati sdr shamsudin othman, naluriku kembali tergugah untuk kembali melukis. memang selama ini aku mengajar Pendidikan Seni Visual, tetapi rutin tugas yang mencuri waktu untukku bermain dengan berus dan warna.
apabila sdr shamsudin othman menceritakan bahawa Pak Samad akan mengadakan pameran seni lukis dengan menyertakan PUISI, aku teringat kembali semasa di mpti, jb sekitar 1982. aku antara pengasas Grup Teater Anak Sepi (G'TAS) selaku Pengarah Seni, pada Malam Sekuntum Senyum Secebis Rasa, aku mengadakan pameran solo lebih 20 buah lukisan abstrak (20"X30") dengan melampirkan sajak setiap satunya.
malam itu, tetamu khas datangnya dari DBP, KL, allahyarham sdr ma'arof saad (semoga rohnya dicucuri rahmat) dan sdr rogayah a. hamid, (barangkali beliau masih ingat aku menghulurkan sejambak mawar merah dengan serangkap puisi sulungku yang tersiar di dewan sastera - terdesak, apr 1979) betul-betul menggugah rasa kami yang menamakan diri sebagai anak seni yang kemudiannya berguru teater di taman seni budaya, jb atas bimbingan sdr jalil hamid, pegawai kebudayaan sdr hasan jali, pelakon sdr ismail jupri, shukor dll pelakon bangsawan handalan johor.
malam itu juga aku menyanyikan lagu puisi (sebagaimana biasa yang kami lakukan sewaktu kunjungan ke sekolah-sekolah sekitar jb).
begitu imbauanku setia datangnya hari guru....

Thursday, May 10, 2007

Terima kasih Sham al-Johori

Gambar: Bersama-sama menghirup dingin dengan insan yang menyiapkan blogku. Terima kasih Shamsudin al-Johori.
i

Rupa-rupanya dunia ini semakin kecil walaupun pemandangan semakin besar dan terlalu luas di awang-awangan. Namun seperti bulan dia tidak akan bersinar tanpa mentari.
ii
Mungkinkah tanah Kundasang ini menemukan kita kembali setelah membesarkan keangungan-Nya?

Kundasang, aku didakap kedinginan

Gambar: Di kaki Gunung Kinabalu. (08 Mei 2007: 5.35 petang)


Sewaktu kali pertama mendekati dan merapati makna persahabatan kita tiba-tiba aku tersentak diusap kabus dingin di sela-sela kedut dahiku. Aduh! Sudah setua ini aku baru dapat bermesra denganmu. Di kaki Kinabalu, sampai bila-bilapun aku tetap meratap dan bersyukur bahawa pada sisa hayat ini kita sempat bercanda kembali.
ii
Di sini aku belajar erti keagungan-Mu, Tuhan. Semakin tinggi tanah-Mu kudaki, terasa semakin rendah ilmu dan imaniku.

SALAM DAN KUNJUNGILAH

Assalamulaikum Wbk.
Selamat datang ke dunia blog aku yang memungkinkan keakraban kita. Datang, jengah dan ketuklah pintu kamar blog ini sebagai tanda persahabatan kita.
SALAM RINDU.